Saya tertarik dengan post ini dalam animhosnan.blogspot.com
Pasti menarik sekali. Saya catat kembali ke dalam blog ini sebagai satu kredit kepada beliau. Terima kasih.
Pasti kebanyakan dari kita tahu bunga kemboja...
BUNGA KEMBOJA (Plumeria rubra) merupakan sejenis pokok bunga dari keluarga Apocynaceaeyang mudah tumbuh di negara kita Malaysia. Pokok Bunga Kemboja dalam masyarakat Melayu di Malaysia sering ditanam dikawasan tanah perkuburan Islam sejak zaman dahulu dan ini mungkin disebabkan bau harum serta pokok ini mudah ditanam di kawasan tanah perkuburan dan ianya mudah tumbuh sama seperti pokok bunga lain. Penanaman pokok kemboja sebagai tanaman hiasan keliling rumah dan juga ditanam di sepanjang jalan di kampong tradisional yang dilakukan bagi tujuan landskap. Tanaman ini sebenarnya berasal dari Amerika Tengah dan dibawa masuk ke negara kita oleh penjajah zaman kolonial. Bunga ini diberi nama Plumeria dari seorang saintis berbangsa Perancis yang mengkaji mengenai bunga ini iaitu Charles Plumeria. Bunga ini sememangnya banyak ditanam di kawasan ibadat di seluruh dunia seperti di Kuil, Pagoda (banyak saya lihat di Myanmar, Vietnam, Thailand), Masjid dan rumah ibadat lain. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai bunga pula yang terdapat di kawasan kampong.
Pokok Bunga Kemboja adalah jenis pokok yang lasak dan tumbuh menegak dengan banyak cabang serta dipercayai mampu untuk tumbuh lama sehingga ratusan tahun. Mungkin itulah sebabnya orang dulu suka tanam di kawasan kubur kerana bau wanginya dan ianya akan jadi tanda sebagai tanah kubur berpuluh-puluh tahun. Pokok ini mampu tumbuh setinggi 7-8 meter dengan daun berwarna hijau rimbun dan bunga yang berwarna pink, putih dan kuning yang terang atau kombinasi di antaranya dan mengeluarkan bau atau aroma yang wangi. Lazimnya pokok kemboja di negara kita adalah sekitar ketinggaian 1.0 - 2.5 meter sahaja jika sering dibuat cantasan.
Batang pokok kemboja berwarna coklat kelabu dengan ada ruas-ruas yang jelas dan bukan dari jenis yang berkayu keras. Batangnya akan mengeluarkan getah putih jika dilukakan atau cairan jernih yang menyebabkan rasa gatal-gatal pada kulit sesetengah orang. Daunnya berwarna hijau yang berkelompok rapat pada hujung dahan , bertangkai panjang , memanjang dan hujung yang tirus tajam. Ukuran daun sekitar 20-40 cm panjang dan 5-12 cm lebar. Bunganya berkumpul dibahagian hujung ranting dengan kelopak yang agak kecil serta mempunyai mahkota berbentuk corong dengan sisi dalamnya berambut dengan warna agak putih, kuning atau merah. Lazimnya bunga kemboja berbau harum tetapi ada juga yang tidak berbau langsung. ini yang menyeramkan waktu malam di kawasan kubur agaknya!
Tangkai putiknya pendek dan tumpul serta lebar yang bakal mengeluarkan 1-2 biji buah yang jaraknya berjauhan. Buah yang bebentuk seperti tabung leper ini panjangnya 18-20 cm dan lebarnya cuma 1-2 cm mengandungi biji yang banyak serta bersayap(Lihat foto sebelah). Bijinya berwarna hijau ketika muda akan bertukar kepada warna kehitaman apabila telah matang. Bahagian akar pokok ini mempunyai akar tunjang dan juga akar serabut yang kukuh masuk kedalam tanah.
Terdapat pelbagai spesis pokok bunga kemboja ditanam kerana bentuk bunganya yang unik, warna yang menarik serta bau harum yang dikeluarkannya. Di antara jenis yang popular ditanam di Malaysia adalah jenis Plumeria rubra danPlumeria alba. Kedua-dua spesis ini bukan sahaja ditanam untuk hiasan ditaman bunga, keliling rumah di kawasan tanah perkuburan malahan ada yang berminat untuk dijadikan tanaman 'Kemboja Bonsai'. Spesis lain yang popular ditanam di Malaysia seperti Spider Rod, Peterson Gold, Penang Peach, Malaysian Red, Kauka Wider (Chili Red), Curling Rainbow dan Cemetery Pink atau Aussie Pink. Penanaman banyak spesis dalam satu kawasan taman mencantikan lagi permandangan dengan terdapatnya kepelbagaian warna.
Penanaman pokok bunga kemboja mudah dijalankan menggunakan Biji Benih atau gunakan Keratan Batang. Biji benih yang cukup matang dari spesis dipilih disemai dahulu dalam media pasir sehingga bercambah dan boleh ditanam di pasu atau atas tanah apabila mempunyai 5-7 helai daun. Penanaman mengunakan biji benih ambil masa lama untuk membesar dan menghasilkan bunga dan ketulinan tidak dijamin kerana mungkin berlaku 'cross pollination' semasa proses pendebungaan. Penanaman menggunakan keratan batang dibuat dengan menggunakan keratan batang terpilih berukuran 30 - 40 cm panjang dengan beberapa tunas. Biarkan hujung batang kering daripada getah dengan menjemur selama 4-5 hari sebelum disapu dengan hormon pengakaran dibahagian bawah untuk menggalakan akar keluar. Cacakan keratan tadi dalam media penanaman sama ada tanah campuran 3:2:1 atau 'Cocopeat' atau 'Peatmoss' sehingga ianya mengeluarkan akar dan daun. Cara ini mempastikan pokok cepat berbunga dan dijamin ketulinannya.
Industri tanaman pokok bunga kemboja belum dapat dipastikan nilai ekonominya. Kajian lebih lanjut dari segi teknologi, amalan agronomi, penyata untung rugi dan kaedah pemprosesan perlu diperbanyakkan. Kajian mengenai bau harum yang dikeluarkan perlu digiatkan sama ada bau tersebut dapat di ekstrak untuk dijadikan minyak pati yang ekonomik dan sesuai untuk pasaran khusus (niche market). Kini bukan sahaja dikawasan perkuburan atau rumah ibadat yang menanam pokok ini tetapi di kawasan taman rekreasi, taman bunga, kawasan kampung dan disekeliling rumah mulai berminat dengan penanaman bunga kemboja. Nurseri tempatan juga menjual anak benih pokok ini bagi tujuan komersial.
BUNGANYA CANTIK....POKOK KEMBOJA...
BERBAU HARUM....WALAU DI MANA SAJA...
SENANG DIBIAKKAN .....BANYAK WARNA...
DIJADIKAN HIASAN....KINI DI MANA-MANA ...
No comments:
Post a Comment